Saturday, March 21, 2009

Nasionalisme dan Perjuangan Bahasa

1. Makalah ini disumbangkan oleh Dato’ Dr. Hassan Ahmad daripada Karyawan.

2. Beliau meninjau betapa rapatnya hubungan bahasa dengan perjuangan bangsa, dan betapa tindakan ini melemahkan nasionalisme.

3. ‘Nasionalisme’ atau ‘semangat kebangsaan’ atau ‘semangat bangsa’ secara umumnya lahir dari kesedaran bahawa keanggotaan seseorang dalam kesatuan sosiobudaya yang disebut BANGSA ditandai oleh ciri-ciri yang dimiliki atau diwarisi bersama oleh seluruh anggota bangsa itu dan membezakannya daripada bangsa lain.

4. Bahasa berkuasa sebagai alat pembentukan tamadun bangsa yang sangat integratif kerana melalui bahasa sesuatu bangsa itu dapat dikenali dengan cara bagaimana mereka menanggapi alamnya baik alam sosial mahupun alam kosmos.

5. Oleh itu, bahasa dianggap sebagai pembentuk identiti sesuatu bangsa.

6. Umumnya faktor tercetusnya semangat nasionalisme berpunca daripada rasa ketercabaran iaitu apabila sesuatu bangsa merasakan bahawa identiti bangsanya tercabar oleh keadaan yang boleh menyebabkan hak dan kepentingan mereka tergugat.

7. Nasionalisme Melayu mula tercetus dalam bentuk aktivisme politik selepas Perang Dunia Kedua khususnya dalam tahun 1946.

8. Sementara perjuangan bahasa lahir daripada tuntutan nasionalisme Melayu supaya bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

9. Terdapat sebuah pertubuhan NGO yang bergiat aktif memperjuangkan isu budaya dan bangsa dikenali sebagai Badan Bertindak Bahasa Kebangsaan (BBBK) dengan beraninya mengecat beberapa papan tanda awam yang tertulis dalam bahasa Inggeris.

10. Sekumpulan 9 orang peguam pula telah menghantar memorandum bertajuk Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan 1967: Memorandum Husin Onn dan kawan-kawan kerana kerajaan tidak melaksanakan matlamat yang terkandung dalam Fasal 152, Perlembagaan Persekutuan.

11. Sekumpulan aktivitis bahasa Melayu mengadakan perarakan yang terkenal dengan Perarakan Keranda 152 menuju ke kediaman PM dan Parlimen untuk menghantar memorandum bantahan.

12. Hanya selepas 1970-an ke atas barulah kerajaan melaksanakan dasar menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan ekoran peristiwa hitam 13 Mei 1969.

13. Beliau menegaskan nasionalisme atau nasionalisme bahasa jangan dikelirukan dengan emosi rasisme atau etnisiti,tetapi harus dilihat sebagai proses pembebasan politik dan penjajahan sosioekonomi yang dilakukan melalui bahasa kuasa luar.

14. Beliau juga mengingatkan agar jangan lagi menuduh “pejuang bahasa Melayu” atau nasionalis bahasa Melayu sebagai fanatik bahasa, gila bahasa, anti-bahasa Inggeris, anti kemajuan dan sebagainya kerana kata-kata ini merepek dan tidak berasas sama sekali.

No comments:

Post a Comment