Tuesday, March 31, 2009

Transformasi kaedah pengajaran dan pembelajaran

PRESIDEN Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (Must) merangkap Presiden Persekutuan Akademi dan Persatuan Saintifik Asia (AASA), Tan Sri Dr Omar Abdul Rahman, memberi pandangan mengenai transformasi kaedah pengajaran dan pembelajaran yang wajar dilaksanakan bagi memupuk minat pelajar dalam bidang sains.

SEORANG rakan pernah menceritakan kepada saya mengenai anaknya dimarahi guru kerana menghasilkan lukisan daun berwarna merah sedangkan sebenarnya anak itu mendapat inspirasi berbuat demikian setelah melihat pokok puding di luar kelasnya yang mempunyai ciri fizikal itu.

Kisah ini adalah contoh mudah bagaimana kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) secara hafalan yang masih diamalkan secara meluas di negara ini boleh membantutkan kreativiti dan perkembangan minda pelajar kerana mereka tidak diberi peluang menjelas atau membincangkan pendapat mereka mengenai sesuatu pengetahuan.


Ini kerana kaedah P&P secara hafalan ini hanya memerlukan pelajar mengingati sebanyak mungkin pengetahuan atau maklumat yang dicurahkan guru tanpa menekankan aspek kefahaman pelajar mengenai teori atau idea yang diketengahkan.

Kaedah P&P yang kurang merangsang daya pemikiran pelajar inilah antara punca bidang sains dianggap susah dan tidak menarik minat masyarakat negara ini khususnya di kalangan pelajar.

Jika masalah asas ini tidak ditangani segera, pasti ia menyukarkan usaha kerajaan mencapai sasaran nisbah 100 penyelidik, saintis dan jurutera dengan 10,000 tenaga kerja tempatan menjelang 2020.

Antara penyelesaian boleh dilaksana bagi mengatasi masalah ini ialah melatih guru mengamalkan kaedah P&P secara pertanyaan dan percubaan atau Inquiry Based Learning (IBL) yang kini menjadi amalan di kebanyakan negara termasuk Singapura, Turki dan Amerika Syarikat.

Saya berpeluang menyaksikan bagaimana kaedah P&P ini dilaksanakan ketika ia dibentangkan sempena Perhimpunan Agung Kelapan AASA dan Persidangan Antarabangsa Pendidikan Sains Asia Pasifik di Ankara, Turki, tahun lalu.

Menerusi IBL, guru memainkan peranan sebagai pembimbing dan pemangkin bagi pelajar membina kefahaman mengenai sesuatu teori sains berdasarkan contoh kehidupan sebenar ditunjukkan kepada mereka.

Pendekatannya mudah, iaitu guru menunjukkan objek atau fenomena sebenar yang wujud untuk dijadikan bahan eksperimen pelajar secara berkumpulan.

Sewaktu melakukan eksperimen, pelajar digalak mengetengahkan pendapat dan berbincang mengenai pemahaman masing-masing sebelum guru menjelaskan konsep sebenar.

Sebagai contoh, jika topik berkaitan kadar air diperlukan tumbuhan, guru boleh membawa pelajar melawat kebun sayur terlebih dulu dan apabila pulang ke kelas, diadakan perbincangan dengan pelajar mengenai isu itu.

Setiap pelajar diberi peluang mengemukakan pendapat masing-masing dengan menyatakan rasional mereka berpendapat demikian dan tiada jawapan dianggap salah atau betul.

Kemudian pelajar diberi peluang menjalankan eksperimen berkaitan topik itu dengan bimbingan guru bagi membolehkan mereka mencari sendiri jawapan sebenar kepada isu yang dibincangkan.

Amalan P&P seumpama ini lebih berkesan bagi membina kemahiran pemerhatian dan analisis pelajar kerana mereka didedahkan contoh sedia ada dan diberi galakan untuk menyuarakan pendapat.

Ia juga secara tidak langsung menyuntik semangat kerjasama dalam kumpulan serta membiasakan pelajar dengan kemahiran menjalankan eksperimen.

Bagi memperluas IBL di negara ini, guru subjek sains di seluruh negara perlu diberi latihan sewajarnya dan kepakaran ahli saintis juga boleh diguna pakai bagi tujuan ini.

Pembabitan ahli saintis pula bukan untuk mengajar, sebaliknya membimbing guru menjalankan eksperimen menggunakan objek, hidupan atau fenomena bagi menyuntik minat pelajar dalam subjek itu.

No comments:

Post a Comment