Wednesday, January 28, 2009

Kemiskinan Membuktikan Wakil Rakyat Tidak Bekerja

Salah satu fakta yang sangat menyedihkan berkaitan N4 Matunggong ialah pewartaan kawasan ini sebagai salah satu DUN termiskin di Utara sabah. Selaku pengundi di N4 Matunggong , saya sangat sedih dengan keadaan ini kerana wakil rakyat yang dipilih sepatutnya mampu mengubah kehidupan rakyat. Sejak BN memerintah, kawasan N4 Matunggong masih jauh ketinggalan berbanding dengan kawasan-kawasan lain. Adakah penduduk N4 Matunggong bukan rakyat Malaysia?

Wakil rakyat yang dicalonkan hanya berdasarkan senioriti dalam politik bukan berdasarkan merit dalam kecemerlangan kerja. Wakil rakyat yang hanya dipilih tidak mampu menyelesaikan masalah rakyat malah sering kali menyalahkan rakyat kerana tidak mampu berusaha. Adakah wakil rakyat N4 Matunggong benar-benar memperjuangkan rakyat? Kerajaan BN perlu menyelesaikan masalah ini demi masa depan rakyat di N4 Matunggong. Kalau bukan BN siap lagi yang membantu rakyat?

Selepas PRU12 rakyat N4 Matunggong masih tercari-cari apakah pembangunan yang ketara dibuat oleh wakil rakyat sekarang. Malah sering kali wakil rakyat mengelakkan untuk berjumpa dengan rakyat sebaliknya hanya mementingkan kroni-kroninya sahaja. Inikah perjuangan yang sejati? Pemimpin yang bijaksana bersikap adil dan tidak memilih bulu. Biarpun ada penentang semasa pilihan raya namun semua itu sepatutnya berlaku pada waktu itu sahaja. Selepas menang semua rakyat di N4 Matunggong berada dalam pimpinan wakil rakyat. Justeru itu wakil rakyat hendaklah bersuara untuk semua orang.

Saya menyeru kepada kerajaan BN supaya bertindak lebih bijak pada masa akan datang dengan memilih calon yang mempunyai rekod kerja yang cemerlang dan bukan atas dasar senioriti dalam parti. Setiap calon wakil rakyat hendaklah menyediakan bluprint 5 tahun sebelum dipilih sebagai calon BN. Selepas itu pucuk pimpinan BN hendaklah memantau hasil kerja wakil rakyat tersebut. Saya sangat yakin BN tidak akan seteruk seperti yang berlaku sekarang. Wakil rakyat sepatutnya memfokuskan kerja mereka sekurang-kurangnya melawat semua kampung dalam setahun. saya yakin rakyat sangat senang dengan wakil rakyat seperti itu. Semasa pemerintahan USNO dahulu rakyat N4 Matunggong sangat kenal dengan wakil rakyat tetapi wakil rakyat zaman BN sekarang hanya dikenal namanya tetapi bukan cara kerjanya.

Kepada pemimpin BN khususnya PBS lihatlah masalah ini demi masa depan rakyat di N4 Matunggong.


No comments:

Post a Comment