Tuesday, January 27, 2009

Kemajuan N4 Tanggungjawab Wakil Rakyat.

N4 Matunggong merupakan DUN yang majoriti rakyatnya adalah Rungus. Pemimpin telah silih berganti namun pembangunan ekonomi rakyat masih berada pada paras garis kemiskinan. Keadaan ini menyebabkan ramai anak muda di N4 Matunggong merantau ke Semenanjung Malaysia dan tidak kurang ke Singapura semata-mata untuk mencari rezeki dan kehidupan baru.

Bagi yang bernasib baik mereka telah berjaya memperolehi kerjaya dalam jabatan kerajaan atas usaha mereka sendiri. Terlalu sedikit pembangunan ekonomi yang dijana oleh pemimpin yang bergelar wakil rakyat di kawasan ini. Apakah wakil rakyat terlalu terbeban dengan masalah itu sehingga tidak mampu meningkatkan ekonomi rakyat N4 Matunggong?

Sebagai salah seorang rakyat yang mengundi di N4 Matunggong, saya terkilan dengan kemunduran DUN ini. Wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat dan dibayar oleh rakyat harus peka dengan keadaan ini. sampai bila keadaan ini berterusan? Gerai-gerai perniagaan di tepi-tepi jalan tidak mengalami perubahan malah bertambah teruk. Wakil rakyat tidak membawa perubahan dan pembangunan seperti mana dalam manefesto PRU 12.

Kerajaan khasnya BN hendaklah melihat secara mendalam masalah ini supaya tidak berterusan. Pucuk kepimpinan BN hendaklah menyusun strategi supaya setiap ADUN yang dipilih bekerja dan sentiasa turun padang bukan hanya musim pilihan raya sahaja kelihatan. Wakil rakyat seharusnya cemerlang dan berjiwa rakyat kerana rakyatlah yang memilih mereka untuk memegang jawatan tersebut.

Dalam hal ini beberapa tindakan drastik perlu diambil untuk memperbaik kemunduran yang melanda sekarang

1. Pembangunan modal insan melalui pelaksanaan pendidikan mesra rakyat.
2. Pembangunan ekonomi menerusi pelaksanaan satu kampung satu produk dan dipantau oleh
pemaju mukim.
3.Pembangunan infrastruktur setiap kampung menerusi pelaksanaan satu tahun satu kampung
mempunyai jalan raya beraspal.
4. Pembangunan sukan dengan melaksanakan satu mukim satu permainan mentor
5. Pembangunan kebudayaan dengan melaksanakan satu mukim satu budaya tradisi.
6. Pembangunan minda dengan melaksanakan satu mukim satu perpustakaan dan pusat net.
7. Pembangunan kepimpinan dengan melaksanakan satu mukim satu pemimpin mentor.

Sebenarnya banyak lagi program pembangunan yang dapat dilaksanakan di N4 Matunggong. Namun begitu hanya wakil rakyat yang cemerlang dan berwawasan dapat merealisasikan program tersebut. Ini kerana hanya wakil rakyat yang dapat menggerakkan anggota DUN N4 Matunggong ke arah kemajuan.

No comments:

Post a Comment