Sunday, April 5, 2009

KEMAHIRAN ASAS & TEKNIK MENJAWAB (SAINS KBSM) SPM


PENDAHULUAN

Sains KBSM (teras) adalah mata pelajaran yang PALING MUDAH. Mudah untuk lulus malah, mudah juga untuk LULUS CEMERLANG (B3, A2 dan A1). Mengapa sains itu mudah? Sains itu mudah kerana sains membincangkan perkara yang bukan asing bagi anda. Dalam sains anda mempelajari sesuatu yang nyata, jelas, logik, mudah diterima oleh "akal biasa" dan SANGAT MUDAH DIFAHAMI. Sains juga mudah kerana anda mempelajari sesuatu yang berlaku pada diri anda, sekitaran anda dan perkara yang berlaku dalam kehidupan harian anda. OLEH ITU, SAINS ADALAH MUDAH.

Malangnya, ramai pelajar yang tidak memahami hakikat ini. Ramai pelajar menganggap sains SUSAH malah SANGAT SUSAH. "Belajar sains kena hafal formula, gambarajah, fakta, istilah dan banyak lagi, PECAH OTAK DIBUATNYA!". Inilah sungutan yang biasa kedengaran daripada mulut pelajar. Jika inilah yang tergambar dalam minda anda, maka benarlah SAINS ITU SUSAH dan anda TIADA HARAPAN untuk lulus sains dalam SPM.

Kertas kerja ini akan cuba membimbing anda untuk mendapat markah yang baik dalam SPM. Pengetahuan tentang teknik menjawab kertas soalan sains dalam SPM adalah perlu kerana dengannya anda mampu menjawab soalan dengan baik dan tentunya akan menghasilkan markah yang baik. Oleh itu, pelajari teknik menjawab dengan sepenuhnya jika anda inginkan manfaat daripadanya.

KAEDAH BELAJAR SAINS

Kelemahan yang nyata di kalangan pelajar ialah kurangnya "Kemahiran Belajar" dan ini sangat mempengaruhi keputusan yang mereka perolehi dalam semua peperiksaan yang mereka lalui. Kelemahan ini ditambah lagi dengan sikap tidak mahu memperbaiki kelemahan diri berdasarkan kesilapan yang dilakukan. Biasanya selepas sahaja peperiksaan selesai kertas soalan akan dibuang dan dicampak merata tempat. Kalau pun ada yang masih menyimpan, tidak tahu di mana mereka menyimpannya. Disamping itu, sikap MALAS merupakan punca utama kelemahan pelajar.

Dalam kertas kerja ini, perbincangan khusus tentang apa itu "Kemahiran Belajar" tidak akan dibincangkan. Perbincangan hanya akan memfokuskan kaedah yang paling sesuai dan paling berkesan dalam belajar sains untuk mendapatkan kefahamaan yang benar-benar mantap dan mampu menghadapi sebarang bentuk soalan peperiksaan. Secara amnya, terdapat tiga kaedah umum untuk mempelajari sains.

Pemahaman

Sains untuk difahami BUKAN HAFALAN. Inilah kelemahan yang nyata di kalangan pelajar. Ramai pelajar menganggap sains itu susah kerana banyak sangat dihafal. Kena hafal istilah dan ejaannya, fakta, gambarajah, eksperimen dan banyak lagi. Kalau belajar hanya dengan menghafal apa jenis mata pelajaran pun akan susah. Perkara asas ialah KEFAHAMAN. Setelah anda faham maka mudahlah anda membuat hafalan (bukan untuk fakta atau istilah, tetapi untuk rajah, eksperimen ataupun ejaan). Berikut adalah beberapa perkara yang perlu diingat oleh pelajar berkaitan dengan kefahaman;

1. Kefahaman pelajar terhadap sesuatu konsep biasanya samar-samar sahaja. Oleh itu, jawapan yang dikemukakan dalam peperiksaan biasanya terlalu umum dan kebanyakannya mengarut. Anda sepatutnya memahami sesuatu konsep dan tajuk dengan sepenuhnya sebelum anda mempelajari konsep dan tajuk yang baru.

2. Ramai juga pelajar tidak mengetahui bahawa konsep sains biasanya berkaitan antara satu dengan lain, di mana sesuatu konsep digunakan dalam banyak bab. Sebagai contoh, konsep atom, unsur, molekul, cas dan ion yang dipelajari dalam bab 3 (Jirim dan Bahan) digunakan dalam bab 4 (Tindak balas kimia) dan bab 7 (Sebatian karbon). Kurang kefahaman terhadap konsep ini akan menyukarkan anda mempelajari ketiga-tiga bab tersebut. Seterusnya, sukar bagi anda untuk menjawab dengan baik soalan yang melibatkan konsep tersebut sama ada dalam bab3, bab 4 mahupun bab 7.

Latihan

Latihan merupakan perkara yang jarang dilakukan oleh pelajar. Kalau ada pun, latihan hanyalah tertumpu untuk kertas 1 (soalan objektif). Latihan dalam kertas 2 (struktur dan esei) sangat jarang dilakukan oleh pelajar. Kebanyakan pelajar ANGKUH dan beranggapan dengan HANYA MEMBACA mereka mampu menjawab apa jua bentuk soalan. Ingatlah bahawa sikap angkuh itu biasanya akan membawa padah yang buruk. Latihan perlu kerana dengannya anda boleh;

1. menguji sejauh mana kefahaman anda terhadap sesuatu tajuk;
2. mengesan kelemahan anda, sama ada dalam tajuk tertentu, konsep, istilah, rajah atau pun hafalan; dan
3. membiasakan anda dengan bentuk soalan dan kaedah menjawab.

Nota Ringkas atau Peta Minda (peta konsep)

Nota ringkas perlu tetapi ramai pelajar juga kurang membuatnya, malah ada yang menganggap ianya tidak perlu lagi memandangkan di pasaran kini terdapat banyak buku-buku ringkas pelbagai jenama (walau pun sebenarnya tidak ringkas). Fenomena buku ringkas ini membuatkan pelajar menjadi MALAS untuk menulis. Akibatnya, dalam peperiksaan pelajar biasanya memberikan jawapan yang umum (bukan mengikut fakta sains), salah ejaan, mengarut dan fakta yang salah. Nota ringkas perlu kerana;

1. dengan menulis anda akan mudah faham dan mengingat kembali apa yang anda pelajari terutamanya yang melibatkan istilah, langkah-langkah dan rajah;

2. untuk mengulangkaji cepat ketika menghadapi peperiksaan;

3. melalui peta minda anda mudah memahami perkaitan sesuatu fakta dan konsep keseluruhan sesuatu bab; dan

4. dengan kaedah "mneumonik" anda mudah mengingat sesuatu perkara.


TEKNIK MENJAWAB

Kertas 1 (Objektif)

Bahagian ini mengandungi 40 soalan iaitu 30 pilihan dan 10 aneka pelengkap yang membawa 40 markah.Bagi kertas ini, jawapan telah disediakan, pilihlah jawapan yang betul. Berhati-hati dengan perkataan BETUL, SALAH, KECUALI dan seumpamanya. Luangkan sedikit masa untuk memilih jawapan yang betul, jangan menembak membabi buta. Jawab soalan yang mudah dahulu dan soalan sukar jawab kemudian. JANGAN terlupa membawa pensel 2B dan bulatkan satu sahaja jawapan yang betul.

Kertas 2

Bahagian A (Struktur, alternatif amali: 10 markah: 3-4 soalan)

Bagi soalan struktur Bahagian A, anda mungkin dibekalkan dengan alat radas yang telah dilukis. Perhatikan dengan teliti alat-alat radas tersebut. Fahamkan soalan dan jawab mengikut apa yang diminta oleh soalan. Lukis dengan kemas jika diminta oleh soalan dan lukis di ruangan yang disediakan. JANGAN sekali-kali menggunakan PEN untuk melukis.

Bahagian B (Struktur: 30 markah: 4-6 soalan)

1. Secara umumnya, pemarkahan soalan struktur berasaskan ada markah (betul) dan tiada markah (salah) kecuali soalan yang melibatkan graf, gambarajah dan pengiraan. Dalam pemarkahan, prinsip "wrong versus right" atau jawapan yang salah menyalahkan jawapan yang betul digunakan. Sekiranya dalam jawapan ada yang salah maka keseluruhan jawapan adalah salah walaupun terdapat jawapan yang betul.

2. Takrifan istilah mestilah TEPAT dan ejaan yang betul. Kata kunci (key words) bagi istilah mesti disertakan, kalau tiada maka tiada markah diberi. Sebagai contoh, bagi definisi Isotop, perkataan bergaris adalah kata kunci bagi istilah tersebut.

Apakah yang dimaksudkan dengan isotop?

Isotop ialah atom-atom yang berlainan bagi unsur yang sama, atau
Unsur yang mempunyai nombor atom yang sama dan nombor jisim yang berbeza

Variasi ialah perbezaan ciri individu daripada spesies yang sama.

Jirim adalah yang membentuk benda yang mempunyai jisim dan menepati // memenuhi ruang.

3. Soalan struktur mempunyai ruangan jawapan yang mencukupi untuk jawapan yang sepatutnya. Sekiranya anda memberikan jawapan melebihi ruangan yang disediakan maknanya anda telah MENGARUT. Jawapan hendaklah tepat, ringkas dan padat. Oleh itu, rancang jawapan anda sebelum menjawab. Sebagai contoh;

Nyatakan dua faktor yang mempengaruhi pertumbuhan bakteria?
Suhu dan pH.

Apakah hasil yang terbentuk jika campuran kuprum(II)oksida dan karbon dibakar bersama?
Logam kuprum dan gas karbon dioksida.

4. Istilah sains yang digunakan mestilah tepat dengan ejaan yang betul. Kesalahan ejaan akan menyebabkan KESELURUHAN JAWAPAN SALAH. Gunakan istilah yang digunakan dalam buku teks bantuan kerajaan.

5. Jawab apa yang diminta oleh soalan. Jika diminta menyatakan dua faktor, nyatakan DUA sahaja. Sekiranya anda memberi jawapan yang lebih dan ada antaranya salah maka keseluruhan jawapan salah. Sebagai contoh;

Nyatakan dua ciri-ciri imej cermin satah.
Tegak, maya, sama saiz dengan objek dan songsang. (Markah=0)

6. Jika soalan melibatkan PERBANDINGAN, maka dalam jawapan anda harus ada perkataan seperti LEBIH BESAR, LEBIH LUAS, KURANG DARIPADA dan seumpamanya. Jika perkataan tersebut tiada, maka tiada markah yang diberi. Jawapan anda harus memperlihatkan perbandingan yang diminta oleh soalan. Sebagai contoh;

Nyatakan pemerhatian yang membolehkan anda membuat kesimpulan di d(i)?
Kerana kawasan jernih di sekitar cakera P (penisilin) lebih besar // lebih luas berbanding cakera S (streptomisin).

7. Bagi soalan yang melibatkan perubahan, dalam jawapan anda harus ada perkataan seperti BERUBAH, BERTUKAR, MENJADI dan seumpamanya. Jawapan haruslah menggambarkan perubahan yang berlaku. Sebagai contoh;

Apakah perubahan yang berlaku jika elektrolisis dibiarkan selama beberapa jam?
Warna biru kuprum sulfat menjadi pudar.

Apakah yang terjadi kepada cecair bromin dalam balang gas itu?
Cecair bromin berubah menjadi gas bromin.

8. Bagi soalan yang melibatkan pengiraan, cara kerja pengiraan haruslah ditunjukkan dalam ruangan yang disediakan. Jawapan harus disertakan dengan unit SI seperti cm3, saat, m, kg, saat per cm3, km per jam dan sebagainya.

9. Bagi soalan yang melibatkan gambarajah, lukisan harus mempunyai ciri-ciri berikut;

i. BESAR. Lukisan memenuhi ruangan yang disediakan. Jangan buat lukisan yang terlalu kecil.
ii. JELAS. Lukisan jelas dan terang. Sebaik-baiknya menggunakan pensel 2B.
iii. GARISAN JELAS. Garisan tebal dan tiada GARIS PUTUS-PUTUS atau BERSILANG.
iv. TIADA LOREKAN.
v. BERSIH. Tiada kesan pemadaman yang boleh menjejaskan gambarajah.
vi. GARIS LABEL TIDAK BERSILANG.

10. Bagi soalan yang melibatkan graf, anda harus mengetahui beberapa ciri graf seperti berikut;

i. BESAR. Graf harus (seboleh-bolehnya) memenuhi kertas graf yang disediakan.
ii. PAKSI. Garis dan tajuk graf berserta unitnya.
iii. SKALA. Skala mengikut kadar peningkatan yang seragam. Sebagai contoh; 0.0, 0.1, 0.2, 0.3, 0.4, 0.5 atau 0, 5, 10, 15, 20, 25.
iv. KOORDINAT YANG BETUL. Titik koordinat pada tempat yang betul dan bertanda.
v. BENTUK GRAF YANG BETUL. Biasanya licin, lengkungan dan garis lurus.

Bahagian C (Esei: 20 markah: 4 soalan jawab DUA sahaja)

Bahagian ini merupakan bahagian dimana ramai pelajar melakukan kesilapan iaitu menulis jawapan yang terlalu panjang, berjela-jela, ayat yang sukar difahami, tidak memenuhi kehendak soalan dan fakta yang terlalu umum (tidak melibatkan fakta dan konsep sains). Sebenarnya, bahagian ini amat mudah untuk mendapatkan markah yang baik sekiranya pelajar mengetahui teknik menjawapnya. Berikut beberapa perkara yang perlu diketahui oleh pelajar berhubung dengan teknik menjawab soalan esei.

1. FAHAMKAN KEHENDAK SOALAN. Rangka jawapan anda mengikut kehendak soalan dan bersesuaian dengan markah yang diperuntukkan. SATU MARKAH UNTUK SATU ISI PENTING.

2. PENDAHULUAN dan PENUTUP TIDAK PERLU. Jawapan haruslah ringkas dan mudah difahami. Jangan membuat ayat yang terlalu panjang kerana kemungkinan anda melakukan kesalahan adalah besar.

3. FAHAMKAN ARAHAN yang terdapat dalam soalan. Setiap bentuk arahan mempunyai kaedah menjawab yang tersendiri dan secara ringkasnya adalah seperti berikut;

A. TAKRIF/DEFINISI/MAKNA/MAKSUD istilah.

Jelaskan istilah dengan ringkas berserta kata kuncinya. Penjelasan lanjut adalah tidak diperlukan dan tidak akan mendatangkan sebarang markah.

B. NYATAKAN/BERIKAN/SENARAIKAN.

Nyatakan dengan ringkas apa yang diminta oleh soalan. Penjelasan lanjut tidak diperlukan. Sebagai contoh;

Nyatakan tiga sifat getah asli? (3 markah)
Sifat-sifat getah asli ialah melekit apabila dipanaskan, terlalu kenyal dan lembut.

C. TERANGKAN/JELASKAN.

Jelaskan dengan ringkas menggunakan prinsip, konsep atau fakta sains. Penjelasan umum tanpa menggunakan "bahasa sains" tidak akan memberikan sebarang markah.

Minyak kelapa sawit ialah minyak yang berkhasiat dan baik untuk kesihatan. Jelaskan. (3 markah)
Minyak kelapa sawit berkhasiat dan baik untuk kesihatan kerana;
i. mengandungi vitamin A dan vitamin E;
ii. tidak mengandungi kolesterol; dan
iii. mengurangkan kolesterol dalam darah.

D. PERBEZAAN dan PERBANDINGAN.

Kaedah terbaik untuk menjawab soalan yang melibatkan perbezaan dan perbandingan ialah dengan menggunakan JADUAL. Setiap perbezaan dan perbandingan tentang perkara yang sama harus diletakkan pada baris yang sama. Bagi jawapan berbentuk ayat, lihat contoh di bawah.

Jelaskan perbezaan antara lemak tepu dengan lemak tak tepu. (3 markah)

Lemak Tepu

Lemak Tak Tepu

Pepejal pada suhu bilik

Cecair pada suhu bilik

Takat lebur tinggi

Takat lebur rendah

Mempunyai ikatan tunggal antara atom karbon

Mempunyai ikatan ganda dua antara atom karbon

ataupun,

Perbezaan antara lemak tepu dengan lemak tak tepu ialah;
i. pada suhu bilik, lemak tepu dalam keadaan pepejal manakala lemak tak tepu cecair;
ii. lemak tepu mempunyai takat lebur yang tinggi berbanding lemak tak tepu;
iii. lemak tepu mempunyai ikatan tunggal dalam molekulnya, manakala lemak tak tepu mempunyai ikatan ganda dua.

D. HURAIKAN/BINCANGKAN.

Jawapan agak panjang sedikit, walau bagaimanapun gunakan ayat yang ringkas dan mudah difahami. Jawapan harus disokong atau disertakan dengan konsep dan fakta sains yang jelas seperti pembuktian melalui eksperimen, langkah-langkah dan keputusan eksperimen. Langkah-langkah eksperimen harus meng-gunakan AYAT PASIF mengikut nombor dan urutan yang betul. Adakalanya gambarajah juga perlu disertakan untuk mengukuhkan jawapan anda.


KESALAHAN YANG BIASA DILAKUKAN

Soalan Struktur

1. Menggunakan SINGKATAN PERKATAAN dan SIMBOL dalam persamaan tindak balas kimia. Sebagai contoh, @ (atau), / (atau), & (dan), dll (dan lain-lain), 2 (dua), M (merah), U (ungu). Bagi tindak balas kimia, persamaan harus ditulis dalam bentuk PERKATAAN.

2. Tidak boleh membuat pemerhatian yang baik terhadap eksperimen yang terdapat dalam soalan. Ini menyebabkan pelajar memberikan jawapan yang jauh berbeza daripada jawapan yang dikehendaki. Sebagai contoh;

Nyatakan pemerhatian yang membolehkan anda membuat kesimpulan di d(i).
Jwpn. Pelajar : Kerana penisilin sangat berkesan dalam membunuh mikrorganisma.
Jwpn. Sebenar : Kerana kawasan jernih di sekitar cakera penisilin lebih luas ber- banding cakera streptomisin.

3. Jawapan TERLALU UMUM iaitu tidak menggunakan prinsip, hukum dan istilah sains yang bersesuaian.

4. SALAH EJAAN. Ramai pelajar tidak menitikberatkan KETELITIAN dalam menjawab soalan terutamanya yang melibatkan istilah.

5. JAWAPAN PANJANG dan menyalin balik soalan. Sebagi contoh;

Namakan satu penyakit yang boleh dirawat menggunakan penisilin.
Penyakit yang boleh dirawat dengan penisilin ialah kudis

6. TIDAK BOLEH MEMBACA UKURAN alat-alat radas sains seperti silender penyukat, neraca spring dan alat radas lain.

7. Jawapan bercanggah. Jawapan yang diberi bertentangan iaitu ada jawapan salah dan jawapan betul. Sebagai contoh;

Nyatakan dua ciri imej yang terbentuk.
1. Nyata 2. Maya

8. TULISAN TERLALU SUKAR DIBACA.

9. LEMAH DALAM PENGGUNAAN FORMULA.

10. UNIT TIDAK DISERTAKAN.

11. Tidak memenuhi kehendak soalan.

Terangkan bagaimana rabun jauh diatasi?
Rabun jauh tidak dapat melihat objek yang jauh

12. Tidak boleh membezakan antara arahan LUKISKAN dan LAKARKAN. Rajah tidak berlabel, label bersilang dan tidak lengkap. Sebagai contoh, rajah sinar tidak mempunyai anak panah.

13. TIDAK TAHU MEMPLOT/MELUKIS GRAF dan tidak tahu membaca koordinat.

14. PENGETAHUAN TIDAK MENCUKUPI atau SAMAR-SAMAR.

Soalan Esei

1. Tidak memahami kehendak soalan. Jawapan pelajar biasanya terlalu penjang berbanding dengan markah yang diperuntukkan diikuti oleh perenggan dan ayat yang TERLALU PANJANG dan berputar-belit.

2. Tidak merancang bagaimana hendak menjawab soalan akibatnya jawapan tidak tersusun, bercelaru, fakta yang sama diulang-ulang dan sesetengahnya keluar daripada kehendak soalan.

3. Tidak melukis gambarajah dengan betul. Biasanya gambarajah dilukis alakadar, telalu ringkas, kotor dan terlalu kecil. Gambarajah tidak dilabel dan kadangkala terdapat label yang bersilang.

4. Isi terlalu am iaitu tidak menggunakan "bahasa sains". Kadang kala "istilah kampung" turut digunakan dalam jawapan.

5. Lemah dalam soalan perbandingan dan perbezaan. Sebagai contoh;

Jelaskan perbezaan antara lemak tepu dengan lemak tak tepu. (3 markah)

Lemak Tepu

Lemak Tak Tepu

Pepejal pada suhu bilik

Takat lebur rendah

Takat lebur tinggi

Cecair pada suhu bilik

Adalah lemak haiwan

Selalunya dibuat minyak masak

6. Tidak mahu mencuba langsung walaupun sesetengah soalan sebenarnya terlalu mudah kerana kadangkala jawapan telah ada dalam soalan.


PENUTUP

Melalui kertas kerja ini adalah diharapkan anda telah mempelajari kemahiran yang baru dan berusaha menggunakannya sama ada dalam latihan, ujian mahupun peperiksaan apatah lagi dalam SPM nanti. Perbaiki kelemahan anda dan ingatlah markah yang baik datangnya daripada jawapan yang baik.

"SEMOGA KEJAYAAN SENTIASA BERSAMA ANDA"